Saingan Piala MFL pada Selasa menyaksikan Perak kembali meraih tiga mata setelah menumpaskan pasukan di tangga tercorot, Sabah di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Setelah masih kempunan mencatat sebarang kemenangan, Sabah hadir ke Manjung untuk berdepan Perak yang tewas di tangan Kelantan DN dalam perlawanan terakhir minggu lalu.
Kesebelasan utama Sabah dibarisi nama-nama seperti Amir Abada, Harith Naem dan R. Dinesh sambil Perak menurunkan kesemua pemain bawah 23 tahun diketuai oleh Firdaus Fuad.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk berada di hadapan apabila kapten pasukan, Firdaus Fuad berjaya memanfaatkan situasi kelam kabut di dalam kotak penalti Sabah pada minit ke-18.
Seakan tersentak, The Young Rhinos usaha bangkit dengan memperkemas corak serangan namun gerakan dari sebelah sayap oleh Sahrizan Saidin dipatahkan benteng pertahanan Perak.
Separuh masa pertama tamat, Perak 1-0 Sabah.
Kembali dari rehat, Syahmi Shamsudin hampir menambah kelebihan buat Perak dengan gol kedua pasukan pada minit ke-59 namun jaringan penyerang muda itu dibatalkan akibat ofsaid.
Dua minit kemudian, gawang pelawat terus ditekan menerusi rembatan kencang oleh pemain Perak, Alif Zikri yang sedikit tersasar meskipun tidak diganggu oleh pertahanan Sabah.
Jaringan tambahan yang dicari oleh pasukan muda Perak ini akhirnya berhasil apabila bek kental, Nik Umar menjaringkan gol pada minit ke-67 untuk menceriakan 56 penyokong tuan rumah.
Usaha Sabah yang dibimbing oleh Alto Linus bagi memburu jaringan tampak tidak kesampaian dengan jentera serangan yang tumpul terutamanya di hadapan kawasan kotak penalti lawan.
Aksi di Stadium Manjung berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Perak.
Kemenangan ini meletakkan Perak di tangga kelapan Piala MFL dengan 19 mata daripada 13 perlawanan sementara Sabah masih kemarau kemenangan di tempat tercorot.
Perlawanan Piala MFL selepas ini menyaksikan Perak akan melayani kunjungan Penang manakala Sabah akan kembali ke Likas untuk bertemu PDRM pada pertengahan November.