Selangor FC bangkit daripada ketinggalan sebelum mengalahkan Perak FC II dalam aksi terbaru Piala MFL.
Skuad muda Merah Kuning mahu kembali di persada liga selepas dipintas pesaing terdekat, Johor Darul Ta’zim (JDT) II. Perak II pula mahu bangkit selepas tewas 2-0 kepada Negeri Sembilan FC.
Alif Zikri Zaini Anuar terus diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan Perak II. Omid Musawi mengetuai cabaran Selangor.
Babak pertama menyaksikan Merah Kuning berusaha mencari gol pendahuluan di Stadium UiTM, Shah Alam menerusi Musawi dan Abdul Rahman Daud.
Situasi ini menyebabkan skuad muda The Bos Gaurus diketuai kapten, Aiman Khairul Yusni bekerja keras mematikan setiap ancaman pelawat.
Tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Alif Zikri pada minit ke-35. Percubaan penyerang berusia 23 tahun itu menewaskan penjaga gol Selangor, Azim Al Amin Kamaruddin.
Perak II kemudiannya dianugerahkan dua sepakan penalti oleh pengadil, Anselm Anak Enterang. Malangnya, kedua-dua penalti tersebut gagal disempurnakan dengan baik oleh tuan rumah.
Ini membuka ruang buat Musawi memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat menerusi percubaan pada minit ke-47.
Bersambung selepas rehat, pengendali Selangor, Abdi Hassan memasukkan Rohisham Haiqal dan Danish Iskandar Marzizul untuk memantapkan lagi barisan anak buahnya.
Malangnya, gawang Merah Kuning bolos buat kali kedua menerusi tandukan deras Daniel Edzuan Mohd Anuar pada minit ke-51.
Keceriaan kem The Bos Gaurus hanya bertahan selama dua minit. Afiq Danish Hasniruddin melakukan satu larian solo sebelum menewaskan penjaga gol Perak II, Syazwan Syazany Ahmad Shafei.
Kem Selangor makin ceria apabila Haykal Danish Mohd Haizon meletakkan mereka di hadapan pada minit ke-61. Sepakan percuma Haykal tepat menuju ke penjuru atas gawang Perak II.
Pemain gantian Selangor, Nabil Qayyum Zainuddin pantas melarikan bola hantaran Azim sebelum menewaskan Syazwan pada minit ke-88.
Perak II berusaha merapatkan jurang gol tetapi keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Selangor kembali berada di puncak dengan 49 mata, dua mata di hadapan JDT II. Perak II pula kekal di tangga ketujuh dengan 27 mata.
Perak II bakal menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) B pada 24 Februari. Selangor pula hanya akan beraksi pada bulan April di mana pasukan itu akan menentang KL City FC Extension pada 7 April.