Advertisements
Piala Supermokh 2024: AMD Langkah Kanan, Ikat Wakil China
Piala Belia
MakanBola
AMD

Skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Future membuka kempen Piala Supermokh 2024 kategori B-14 dengan keputusan positif dengan mengikat Evergrande Football School 2-2.

Perlawanan yang berlangsung di Padang C, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil itu menyaksikan AMD Future mendahului menerusi Haziq Zamin pada minit ke-29.

Keceriaan anak buah Azni Ariffin tidak kekal lama apabila pemain gantian, Tang Xucan menyamakan kedudukan lima minit selepas itu.

Zheng Dingchang menyangka telah membantu Evergrande meraih kemenangan menerusi gol pada minit ke-58. Qayyum Syazwan memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 menerusi gol penyamaan seminit selepas itu.

Meskipun seri, Azni memuji semangat juang yang ditampilkan barisan anak buahnya. Ini kerana para pemain sudah diberitahu agar tidak perlu takut dengan kelebihan fizikal pihak lawan.

“Saya telah maklum dari awal bahawa pasukan akan berdepan dengan lawan yang memiliki kelebihan fizikal dan telah membuat analisis mengenai pasukan lawan.

“Motivasi yang diberikan agar pemain berani nyata memberikan impak kerana kita lihat pasukan berjaya mengimbangi kekuatan pasukan lawan malah memberikan tekanan,” katanya.

Pada masa sama, Azni melihat ada aspek permainan yang boleh ditambah baik anak buahnya menjelang aksi yang seterusnya.

“Teknikal dan kawalan bola serta pertahanan antara perkara penting yang akan dipertingkatkan pada perlawanan akan datang. Saya percaya pemain mampu melakukan yang lebih baik untuk meraih keputusan positif,” ujarnya.

Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2024 menyaksikan penyertaan 24 pasukan terdiri daripada sembilan buah negara dan berlangsung dari 13 hingga 19 November ini.

Kejohanan ini dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara melalui Sekretariat Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Bahagian Bakat & Pembangunan Wanita di mana ia kini memasuki edisi kelapan.

Terdapat tiga kategori dipertandingkan dalam saingan Piala Supermokh iaitu B-12, B-13 dan B-14.