Pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) yakin untuk terus bersaing dalam Liga Super sungguhpun hanya dibarisi dengan kudrat pemain tempatan sepenuhnya.
Bukan itu sahaja, mereka juga percaya bahawa perkara tersebut bukanlah penghalang untuk terus memberikan yang terbaik menjelang musim baharu 2022.
Menurut satu kenyataan oleh pemilik kelab PJ City, Datuk Seri Vijay Eswaran, beliau percaya dengan kemampuan pemain tempatan untuk terus memperbaiki kedudukan pasukan dalam Liga Super.
‘Memang boleh capai lima teratas walaupun tanpa kehadiran pemain import dalam pasukan, saya selalu percaya dengan slogan skuad ‘YakiniLokal’,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Tambahan pula, kehadiran beberapa orang muka baharu ke dalam pasukan kendalian P. Maniam ini dirasakan mampu untuk memperbaiki beberapa posisi yang diperlukan.
Ini juga sekaligus dapat menjadikan sasaran pasukan lebih realistik apabila kemampuan P. Maniam untuk membentuk satu skuad yang mempunyai mentaliti untuk terus bersaing secara sihat sebagai satu pasukan.
‘Bukan mudah nak bina pasukan bola sepak, ia bukannya ambil masa sebulan tetapi bertahun-tahun untuk membuahkan hasil. Saya gembira dapat melihat Maniam dapat bina pasukan dengan baik dan menerapkan mentaliti yang kuat dalam kalangan anak buahnya’.
PJ City akan membuka tirai kempen Liga Super 2022 apabila dijadualkan menentang Melaka United FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sabtu ini.