Polis Kawal Ketat Latihan Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal ketat sesi latihan Harimau Malaya.

Skuad kendalian Kim Pan-gon telah memulakan latihan hari pertama dengan beberapa pemain masih belum tiba.

Suasana latihan juga berlangsung sedikit serius dengan kawalan keselamatan dipertingkatkan bagi semua pemain.

Harimau Malaya bakal mengharungi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan dan juga Chinese Taipei.

Kawalan ketat yang diberikan oleh pihak berkuasa ini juga susulan insiden yang menimpa beberapa pemain negara dalam tempoh sebulan ini.

Kejadian bermula dengan serangan terhadap Akhyar Rashid sebelum Faisal Halim pula menjadi mangsa simbahan asid oleh individu yang tidak dapat dikenal pasti.

Bukan itu sahaja, dua lagi kejadian menimpa Safiq Rahim dan Khuzaimi Piee apabila kereta dan rumah masing-masing menjadi mangsa.

Langkah kawalan ketat ini juga dapat dilihat apabila para pemain negara tidak menaiki bas rasmi pasukan sebaliknya menggunakan bas berbeza.

Kawalan lebih ketat turut dikuatkuasakan sekitar perkarangan pusat latihan dengan tiada sebarang keluar masuk bebas dibenarkan.

Skuad kebangsaan akan beraksi bagi perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek.

Perlawanan keenam pula akan menemukan Chinese Taipei dan skuad negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.