Polis Korea Selatan melancarkan serbuan ke atas ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA).
The Korea Times melaporkan polis melancarkan serbuan ke atas dua lokasi. Serbuan pertama dibuat di ibu pejabat KFA di Cheonan, 90 kilometer di selatan Seoul.
Serbuan kedua dibuat di KFA House di tengah-tengah kota Seoul. Serbuan ini dibuat berhubung siasatan dakwaan salah laku membabitkan pelantikan Hong Myung-bo sebagai jurulatih Korea Selatan pada 2024.
Aduan salah laku telah difailkan kumpulan sivil terhadap beliau dan bekas Presiden KFA, Chung Mong-gyu pada tahun sama. Siasatan kes itu kembali mendapat perhatian susulan kegagalan Korea Selatan layak ke pusingan kedua Piala Dunia 2026.
Kegagalan itu juga mendorong Myung-bo meletak jawatan sebagai jurulatih. Langkah itu diambil sebagai mengambil tanggungjawab atas kegagalan Pahlawan Taeguk.
Myung-bo telah disoal siasat sebagai suspek oleh polis Korea Selatan pada 4 Ogos lalu. Pada penghujung Julai lalu, beliau dan Mong-gyu turut disoal oleh pengamal perundangan negara itu berkenaan isu yang melanda KFA.
Polis Korea Selatan dijangka memperhebatkan lagi siasatan susulan dakwaan terbaru yang dikongsikan Korea Football News. KFA didakwa memberi suapan berbentuk seksual kepada sekumpulan pengadil asing untuk perlawanan Korea Selatan pada 2011.
Antara perlawanan yang dilaporkan terpalit akibat dakwaan ini ialah perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 dan perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2012.