Portal yang berpangkalan di United Kingdom (UK) kembali mengaitkan nama Naim Garcia untuk menyertai revolusi Harimau Malaya.
Baru-baru ini, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memaklumkan mengenai usaha mendapatkan 7 orang pemain warisan buat skuad kebangsaan.
“Kami telah mengenal pasti 6-7 pemain warisan untuk pasukan Harimau Malaya. Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia.
“Ini agar mereka dapat bermain untuk Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 mulai bulan Mac ini. Mustahak Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan dengan keputusan yang positif,” ujar DYAM Tunku Ismail di laman X.
Portal yang berpangkalan di UK iaitu Football Legionnaires melaporkan mengenai khabar dua pemain yang pernah digembar-gemburkan menyertai skuad kebangsaan.
“Selain dari khabar angin Naim Garcia dan Daniel & Danish Pesenti. Saya sama sekali tidak tahu siapa mereka ini, jadi sangat menarik untuk melihat siapa yang akan didedahkan pada masa hadapan,” ujar kenyataan portal ini di laman X.
Naim merupakan bekas pemain Akademi Real Madrid namun namanya lebih sinonim dengan Barcelona setelah beraksi buat kelab tersebut pada tahun 2023/24.
Beliau kini pulang ke pangkuan kelabnya iaitu CD Leganes selain pernah didakwa memiliki pertalian darah dengan Malaysia kerana bapanya berasal dari Sabah.
Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi mengenai mana-mana nama yang dikaitkan untuk menyertai revolusi Harimau Malaya menjelang sepak mula Kelayakan Piala Asia 2027.