Advertisements
Portugal Belasah Nigeria
Dunia
MakanBola
Bruno Fernandes

Ketiadaan Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama Portugal tidak menghalang mereka membelasah Nigeria 4-0 dalam perlawanan persahabatan terakhir sebelum Piala Dunia 2022 semalam.

Babak pertama menyaksikan anak buah Fernando Santos mendominasi pasukan pelawat. Dan mereka tidak menunggu lama untuk menyumbat gol pertama menerusi tolakan mudah Bruno Fernandes pada minit kesembilan selepas menerima hantaran Diogo Dalot.

Nigeria cuba bangkit tetapi pemain tengah Manchester United itu menambah derita pelawat apabila Portugal dihadiahkan sepakan penalti. Ini selepas bola hantaran Bernardo Silva terkena tangan bekas pemain QPR, Bright Osayi-Samuel.

Fernandes yang mengambil sepakan penalti mudah menewaskan penjaga gol Nigeria, Francis Uzoho untuk gol kedua tuan rumah pada minit ke-35. Kedudukan 2-0 kekal sehingga rehat.

Separuh masa kedua menyaksikan Super Eagles hampir merapatkan kedudukan selepas Dalot menolak Osayi-Samuel dalam kotak penalti. Tetapi sepakan penalti yang diambil penyerang Nottingham Forest, Emmanuel Dennis dinafikan penjaga gol Rui Patricio pada minit ke-81.

Kesempatan ini direbut Selecao dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit. Pertama, gol Goncalo Ramos pada minit ke-82 selepas mendapat hantaran bek kiri Raphael Guerreiro.

Kedua, gol mudah pemain tengah Benfica, Joao Mario selepas menerima hantaran bintang Atletico Madrid, Joao Felix pada minit ke-84. Kedudukan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Portugal yang diletakkan dalam kumpulan H bakal membuka kempen Piala Dunia mereka dengan menentang Ghana pada tengah malam 25 November.