Advertisement
Potensi Lawan Malaysia, Sri Lanka Tambah 12 Pemain Kacukan Jerman & England
Asia
MakanBola
FAM/SLFF

Pasukan kebangsaan Sri Lanka antara lawan potensi Malaysia yang giat menambah pemain warisan dari Jerman dan England.

Skuad kendalian Abdullah Al Mutairi melakar keputusan mengejutkan pada aksi persahabatan Tier 1 FIFA apabila menundukkan Yaman dengan keputusan 1-0.

Aksi persahabatan di Qatar itu menyaksikan pemain kacukan Australia-Sri Lanka, Jack Hingert menjaringkan gol saat akhir sekaligus memberikan kejayaan bermakna buat pasukan ke-203 dunia itu.

Sri Lanka juga kini sudah menambah baik skuad sedia ada dengan kemasukan beberapa muka baharu dan membentuk gabungan dengan pemain tempatan bagi memberikan tonik tambahan untuk bersaing pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027.

Terdapat beberapa pemain berketurunan Sri Lanka beraksi di Eropah kini memperkuat pasukan seperti Jason Thayaparan yang kini berkelana di Jerman besama Eintracht Trier (Divisyen 4), Leon Perera di LSK Hansa (Divisyen 6), Claudio Kammerknecht (Dynami Dresden), Anujan Rajendram di Strindheim TF iaitu liga Divisyen tiga Norway.

Bukan itu sahaja, watak serangan seperti Oliver Kelaart turut beraksi di Eropah bersama Haukar di Iceland, Dillon De Silva di England memperkuat Sutton United termasuklah Sam Durrant yang merupakan bekas pemain Akademi Liverpool dan juga Adhavan Rajamohan bersama IFK Haninge di Sweden.

Sebahagian besar pemain lain beraksi di Australia iaitu Rahul Suresh (Moreland), Barath Suresh (Langwarrin SC) dan Jack Hingert (Brisbane Roar) selain seorang pemain di Liga Perancis iaitu Steven Sacayaradjy bersama Onet-le-Chat.

Malaysia yang menghuni Balang 2 berpotensi besar untuk bertemu Sri Lanka (Balang 4) sekiranya undian yang bakal berlangsung pada 9 November ini menjadi kenyataan.

Hanya satu pasukan sahaja dari setiap kumpulan bakal menempah tiket ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Sri Lanka bagaimanapun hanya mencatatkan satu kemenangan daripada 7 perlawanan yang diharungi menjelang sepak mula Kelayakan Piala Asia tahun hadapan.