Potensi Negeri Sembilan Dorong Takumi Sasaki Kekal
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Potensi besar yang dimiliki Negeri Sembilan FC antara sebab yang mendorong Takumi Sasaki kekal bersama pasukan itu.

Pemain tengah berusia 28 tahun itu mengakui bukan mudah untuk beliau membuat keputusan kekal bersama Sang Rusa. Ini kerana normal bagi mana-mana pemain mendapat tawaran pasukan lain dan berhijrah.

Walau bagaimanapun, Sasaki memaklumkan keputusan untuk kekal bukan saja didorong oleh potensi pasukan berkenaan. Malah, ini turut didorong rasa cinta yang mendalam beliau terhadap Negeri Sembilan.

“Jika ditanya sama ada keputusan ini mudah, jujurnya tidak sebab saya mengambil sedikit masa untuk memikirkannya.

“Setiap pemain mungkin ada pilih untuk berhijrah ke pasukan yang lebih besar dengan jurulatih yang ternama, tetapi pada akhirnya, rasa cinta saya terhadap pasukan ini mengatasi segala-galanya.

“Kelab ini mempunyai potensi yang besar. Faliq (Ketua Pegawai Eksektif (CEO)) juga bekerja keras setiap hari demi perkembangan kelab ini termasuklah dengan pusat latihan baharu yang sedang dibina, saya percaya masa depan Negeri Sembilan sangat cerah selepas ini,” katanya.

Sasaki turut mengakui dua musim beraksi dalam Liga Super membantunya menjadi pemain yang lebih baik di atas padang.

“Musim pertama, saya lebih fokus bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan karakter permainan saya bersama pemain lain, dan musim kedua saya dapat tengok kepentingan pasukan ini secara menyeluruh untuk berikan segalanya.

“Pengalaman pahit dan manis telah bantu saya menjadi pemain lebih matang dan harap dapat menampilkan keseimbangan lebih baik musim depan,” tambahnya.

Sepanjang dua musim bersama Negeri Sembilan, Sasaki telah meledakkan enam gol dan mencipta 11 bantuan gol dalam 60 penampilan. Beliau membantu Sang Rusa menamatkan saingan liga musim 2025/26 di tangga ketujuh.