Pra-Musim: Manchester United Bangkit ‘Rantai’ PSG
MakanBola
Manchester United

Manchester United bangkit daripada ketinggalan sebelum mengikat juara bertahan Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi persahabatan pramusim di Gothenburg, Sweden.

United dilihat semakin berkeyakinan selepas menewaskan satu lagi pasukan handalan Eropah, Atletico Madrid dalam aksi persahabatan sebelumnya. Aksi ini juga memberi peluang kepada kelab memberi penampilan pertama kepada kapten Belgium, Youri Tielemans.

Pemain tengah berdarah Filipina-Sepanyol, Dro Fernandez menjadi sebahagian daripada jentera tengah PSG. Mason Mount dan Andrey Santos mengemudi jentera tengah United.

Separuh masa pertama menyaksikan PSG terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sasaran Liverpool, Ibrahim Mbaye. Mbaye tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol veteran, Thomas Heaton.

Tersentak, The Red Devils kembali mengatur rentak. Rentak United sedikit terganggu apabila Mount terpaksa digantikan dengan Tyler Fletcher pada minit ke-20.

Gol penyamaan yang dicari United hadir 12 minit selepas itu. Bryan Mbeumo memastikan penyokong United di Gothenburg ceria dengan menewaskan penjaga gol PSG, Matvey Safonov.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus mengasak untuk mencari gol tambahan. United terus memberi tekanan menerusi Mbeumo, Amad Diallo, Shea Lacey dan Patrick Dorgu.

United kemudiannya memasukkan kapten, Bruno Fernandes dan Joshua Zirkzee. Tielemans turut masuk sebagai pemain gantian menggantikan Santos untuk membuat penampilan pertama di hadapan penyokong di Gothenburg.

The Red Devils terus memberi tekanan kepada PSG tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Mbaye dan Lucas Beraldo dipilih pemain terbaik oleh Sofascore selepas berkongsi markah 7.6.

Selepas ini, United akan berdepan musuh tradisi, Leeds United dalam aksi persahabatan seterusnya pada 13 Ogos ini.