Profil orang kuat baharu Peter Cklamovski bocor awal di laman data bola sepak terkemuka dunia, Transfermarkt.
Pengendali kelahiran Australia itu diumum selaku pengendali baharu Harimau Malaya bagi menggantikan Pau Marti yang bertugas selaku pemangku sebelum ini.
Beliau diberi mandat untuk memastikan pasukan kebangsaan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Barisan kejurulatihan beliau masih menjadi tanda tanya namun laman Transfermarkt telah memberi bayangan awal pembantunya iaitu bekas kapten Australia, Mark Miligan.
Jurulatih berusia 39 tahun itu pernah menjawat jawatan pembantu jurulatih bersama Adelaide United selama tiga tahun (2022-2025) selain memiliki reputasi hebat semasa bergelar pemain profesional.
Beliau pernah beraksi buat Melbourne Victory, FC Baniyas, Hibernian, Southend United dan lain-lain lagi sebelum bersara pada tahun 2021.
Mark dicanang selaku pembantu kepada Peter Cklamovski sekaligus membentuk barisan kejurulatihan yang mantap untuk membimbing Malaysia bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal bermula Mac ini.
Ujian pertama Malaysia adalah menentang pasukan ke-175 dunia, Nepal pada 25 Mac ini dengan venue dijangka berlangsung di Bukit Jalil atau Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.