Punca Kelantan TRW Tewas Kepada Selangor Terungkai
MakanBola
Selangor FC

Pengendali Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), Akmal Rizal Ahmad Rakhli mendedahkan punca kekalahan pasukan itu di tangan Selangor FC dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia.

Aksi tersebut menyaksikan pasukan Pantai Timur itu bermula dengan baik menerusi gol Simen Lyngbo pada separuh masa pertama.

Walau bagaimanapun, Kelantan TRW hampa apabila Selangor meraih dua gol pada babak kedua. Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim muncul wira dengan meledakkan kedua-dua gol pelawat.

Akmal Rizal melihat sedikit kelekaan sebagai punca The Real Warriors hampa pada akhir permainan. Beliau melihat aspek ini perlu diperbaiki sebelum aksi timbal balik di Stadium MBPJ pada 23 Januari.

“Bagi saya, kita menentang pemain import dan tempatan yang berkualiti. Jadi, saya rasa kita telah memberikan saingan yang cukup baik. Kita menjaringkan gol pada babak pertama.

“Dan kita tahu pada separuh masa kedua, mereka akan datang (menyerang) dan itu yang berlaku.

“Sedikit kelekaan membawa kepada dua gol buat pasukan Selangor dan itu harus diperbaiki segera sebelum pertemuan kedua nanti,” katanya selepas perlawanan.

Akmal Rizal turut memaklumkan pasukan itu akan bangkit semula agar dapat meraih tiket ke suku akhir.