Advertisements
Ranking FIFA Malaysia: Malaysia Raih 10.12 Mata Tambahan FIFA, Naik 5 Anak Tangga
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Malaysia mencatatkan perolehan mata ranking FIFA maksimum dalam kalendar FIFA kali ini selepas berjaya mencatatkan kemenangan 100% dalam dua aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim.

Kemenangan 1-0 terhadap Turkmenistan memberikan Malaysia tambahan mata sebanyak 5.27 manakala kemenangan 2-0 terhadap Hong Kong pula memberikan Malaysia tambahan mata sebanyak 4.85.

Mata keseluruhan yang berjaya dikutip sepanjang bulan Mac ini adalah sebanyak 10.12 sekaligus memberikan Malaysia mata masa-nyata sebanyak 1082.11 (tidak rasmi).

Perolehan mata sebanyak 1082.11 ini juga membawa Malaysia ke tangga ke-140 FIFA memintas Suriname dan menghampiri Ethiopia yang kini berada di ranking ke-139.

Malaysia secara rasmi kini berada di kedudukan ke-145 dunia menerusi kemas kini rasmi terakhir FIFA pada Disember 2022 lepas dan bakal diumumkan di ranking ke-140 pada 6 April ini dengan kenaikan sebanyak 5 anak tangga.

Walaubagaimanapun, Malaysia mungkin mempertingkat ranking lebih baik dari kiraan ini selepas mengambil kira keputusan perlawanan melibatkan negara lain terutamanya dari rantau Asia.

Selepas berjaya mara ke separuh akhir Piala AFF 2022, Malaysia mengumpul keseluruhan 1,071.99 mata ranking FIFA dan kini menghampiri kedudukan terbaik sejak 12 tahun lalu selepas memenangi kedua-dua perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong.

Kalendar FIFA seterusnya adalah pada 12-20 Jun ini dan Malaysia dijangka bakal bertemu pasukan lebih kuat dari Asia seperti yang diwar-warkan sebelum ini.