Kedudukan Liga Malaysia kini melonjak ke tangga kedua terbaik di Asia Tenggara.
Kemajuan memberangsangkan ini memberikan gambaran jelas terhadap kedudukan liga tempatan terutamanya untuk memastikan kualiti pasukan terus berada pada tahap terbaik.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Presiden Malaysia Football League (MFL), Datuk Abd Ghani Hassan yang melihat terdapat kemajuan besar pada perkembangan liga tempatan pada peringkat Asia Tenggara.
“Pada peringkat liga di Asia, sebanyak 47 liga berjalan menyaksikan Liga Malaysia menduduki tangga ke-11.
“Bagi kedudukan di Asia Timur pula, Liga Malaysia berada pada tangga kesepuluh daripada 22 liga secara keseluruhan.
“Daripada 12 liga di Asia Tenggara, Malaysia kini menduduki tangga kedua,” ujarnya ketika pertemuan itu pada petang Rabu.
MFL selaku pengelola Liga Malaysia juga turut mahu memastikan tahap liga negara terus meningkat untuk mencapai tahap terbaik di Asia.
MFL juga berpegang kepada prinsipnya untuk melihat saingan Liga Malaysia kekal bersaing secara kompetitif bukan sahaja di ASEAN malah di Asia Timur dan Asia juga,” tambahnya lagi.
Peningkatan yang dicatatkan oleh Liga Malaysia pada tahun 2026 ini secara rasminya mengatasi rekod tahun 2024 selepas hanya berada pada kedudukan keempat liga terbaik di Asia Tenggara.