Selepas berjaya mara ke separuh akhir Piala AFF 2022, Malaysia mengumpul keseluruhan 1,071.99 mata ranking FIFA dan kini menghampiri kedudukan terbaik sejak 15 tahun lalu.
Kemenangan ke atas Turkmenistan 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim memastikan 5.27 mata menjadi milik anak buah Kim Pan-gon sekaligus mengumpul mata keseluruhan terbaru sebanyak 1077.26 dan berada di ranking ke-140 memintas Burundi dan St Kitts and Nevis.
Perlawanan menentang Hong Kong kelak pada 28 Mac ini bakal memberikan anjakan baru buat skuad negara dengan penambahan +4.9 mata jika berjaya menewaskan pasukan berkenaan.
Sekiranya Malaysia menang menentang Hong Kong, maka mata keseluruhan yang dikumpul sebelum kemas kini FIFA pada April ini adalah sebanyak 1082.16 sekaligus berada dikedudukan ke-139 dunia memintas negara dari Amerika Selatan, Suriname.
Hampiri Kedudukan Ranking Terbaik Sejak 12 Tahun Lalu
Kedudukan ke-139 dunia ini bakal menghampiri kedudukan terbaik negara pada tahun 2011 sejurus memenangi Piala AFF 2010 di mana Malaysia pernah menduduki tangga ke-138 FIFA sebelum kembali memperoleh unjuran kejatuhan sehingga ke tangga ke-178 pada tahun 2018.
Kemenangan ke atas Hong Kong juga bakal membantu Malaysia mengurangkan defisit perbezaan mata ranking dengan pesaing terdekat dari Asia Tenggara, Filipina kepada 27.44 mata. Filipina kini di tangga ke-134 dunia dengan mata masa-nyata sebanyak 1,109.60.
Kemas kini ranking seterusnya akan dikeluarkan secara rasmi oleh FIFA pada 6 April 2023.
Malaysia secara rasmi kini berada di kedudukan ke-145 dunia menerusi kemas kini rasmi terakhir FIFA pada Disember 2022.