Akhirnya, teka-teki siapa pengganti Park Hang-seo sebagai jurulatih Vietnam terjawab juga. Hari ini, Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) mengumumkan perlantikan jurulatih Perancis, Philippe Troussier sebagai jurulatih baru skuad Naga Emas.
Selain bertanggungjawab menguruskan skuad senior, bekas jurulatih Jepun itu turut diberi amanah mengemudi skuad bawah 23 tahun Vietnam. Ini bermakna kelibatnya bakal dilihat dalam acara bola sepak Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Sebelum ini, beberapa nama dikaitkan dengan kerusi panas yang ditinggalkan Hang-seo selepas tamat kempen Piala AFF 2022. Tetapi nama Trousier dipilih kerana jurulatih berusia 67 tahun itu dilihat mampu meneruskan legasi yang ditinggalkan jurulatih berdarah Korea Selatan itu.
Selain itu, bekas jurulatih Qatar itu sudah masak dengan bola sepak Vietnam selepas menjadi jurulatih skuad bawah 19 tahun negara itu dari 2019 hingga 2021. Selain Jepun dan Qatar, Troussier pernah melatih Nigeria, Olympique Marseille dan Maghribi.
Nama jurulatih Perancis itu amat dikenali di benua Asia selepas berjaya membawa Jepun ke pusingan ke-16 Piala Dunia 2002. VFF berharap sentuhan magisnya itu dapat membantu Vietnam menjadi kuasa bola sepak ASEAN, seterusnya ke peringkat Asia.