Respon Tunku Ismail Terhadap 8 Pengumuman Penting MFL
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor memberikan respon ringkas hasil pengumuman dari Malaysian Football League (MFL).

Pada Jumaat, MFL dalam satu kenyataan mengumumkan 8 perkara penting menjelang saingan Liga Super musim akan datang antaranya kehadiran kelab jemputan dari luar negara, Brunei DPMM.

Maka, dengan kehadiran Brunei DPMM, saingan Liga Super pada musim hadapan bakal menyaksikan 14 kelab bersaing bagi merebut kejuaraan daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selain itu, kuota pemain asing pada musim akan datang juga akan bertambah kepada 15 orang dengan hanya 7 pemain di atas padang manakala dua lagi memulakan aksi dari bangku simpanan.

MFL turut mengesahkan pelaksanaan sepenuhnya Financial Fair Play (FFP) yang mula diperkenalkan musim lalu dengan menetapkan mekanisme gaji siling sebanyak 80 peratus buat setiap kelab.

Berkenaan saingan Liga Super, perlawanan pertama dijangka bakal membuka tirainya pada Ogos 2025 yang membabitkan aksi Piala Sumbangsih antara JDT dan Selangor sebagai dua kelab terbaik musim lalu.

Malah, dua kelab ini juga akan beraksi di pentas Asia dengan JDT mara ke AFC Champions League Elite (ACLE) manakala Selangor pula layak bermain di AFC Champions League Two (ACL2).

Kedua-dua pasukan terbaik Malaysia ini juga dipilih oleh MFL untuk mewakili Malaysia ke saingan ACC Shopee Cup setelah JDT menjurai Liga Super sementara Selangor muncul selaku naib juara.

Terakhir sekali, MFL turut mengumumkan dua tarikh jendela perpindahan yang penting buat kesemua kelab memperkuat pasukan iaitu bermula 9 Jun sehingga 31 Ogos 2025 serta 5 Januari sehingga 1 Februari 2026.

Kesemua pengumuman ini telah diringkaskan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman X dan telah pun mendapat perhatian DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Baginda mengulang siar hantaran itu dan memberi bayangan saingan Liga Super musim akan datang bakal melalui sebuah anjakan paradigma bagi terus meningkat ke satu tahap yang lebih baik.

“Level up,” tulis Baginda bersama emoji graf menaik yang melambangkan peningkatan.

Aksi Liga Super 2025-2026 dijadualkan bakal bermula pada bulan Ogos dengan JDT yang merupakan kelab milik DYAM Tunku Ismail akan turun memegang status sebagai juara 11 kali berturut-turut.