Penolong jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Rezal Zambery Yahya memuji semangat juang yang tinggi yang dipamerkan pasukan itu baru-baru ini.
Selepas tewas dalam empat perlawanan Liga Malaysia (Liga M) termasuk aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA 2024, Kelantan DN akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama liga.
Kemenangan itu diraih dalam aksi keempat liga menentang PDRM FC pada 23 Jun lalu. Oday Kharoub muncul wira dengan meledakkan penalti pada minit ke-29.
Atas sebab itu, Rezal berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan barisan pemain Kijang Emas. Dan beliau berharap itu dapat dikekalkan bila menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) nanti.
“Bagi saya, alhamdulillah. Kredit harus diberi kepada semua pemain meskipun semua orang tahu kita mengalami kekalahan berturut-turut pada awal musim.
“Tetapi akhirnya, kesungguhan yang ditunjukkan pemain akhirnya berjaya mencapai kemenangan pertama pada tahun ini menentang pasukan PDRM.
“Saya rasa kredit sepenuhnya patut diberi kepada semua pemain yang memberi yang terbaik setiap kali latihan, (mereka) menunjukkan peningkatan dan itu satu perkara yang positif kepada pasukan kita,” katanya dalam temu bual pra-perlawanan yang disiarkan di Astro Arena.
Kelantan DN berharap dapat melebarkan rekod kemenangan dengan menentang pasukan utara tanah air, Kedah. Perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Darul Aman pada 12 Julai ini.