Romel Morales Kongsi Sebab Pilih Sertai Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Penyerang kebangsaan, Romel Morales mengakui faktor penyokong menjadi sebab utama beliau memilih menyertai Terengganu FC.

Ini kerana pada hemat bekas penyerang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu, sokongan padu penyokong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) sentiasa menyuntik semangat pasukan yang diberi jolokan Sang Penyu itu.

Ini sesuatu yang menggerunkan bagi mana-mana pasukan yang bertandang ke SSMZA pada hari perlawanan. Morales cukup arif dengan perkara itu kerana beliau sudah merasai pengalaman berkenaan sebagai pemain lawan sejak tiba di Malaysia pada 2018.

“Sebagai pemain bola sepak, perkara paling penting bagi kita ialah sokongan daripada peminat. Dan itulah sebab saya memutuskan untuk datang ke sini.

“Saya tahu (reputasi) besar Terengganu, saya tahu bilangan penyokong mereka (sangat ramai). Saya banyak kali bermain di stadium ini (SSMZA) bersama pasukan lain, saya tahu apa perasaan sebagai pasukan lawan, bukan mudah bila penyokong Terengganu datang ke sini.

“Jadi, sangat bagus untuk beralih ke sebelah sana dan saya tak sabar melihat stadium penuh dengan penyokong menyokong kita. Dan saya sangat teruja dengan hal itu,” katanya.

Morales antara lapan rekrut baharu Peteh untuk musim 2026/27. Beliau menyertai pasukan itu secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) selama semusim.

Penyerang berusia 28 tahun itu akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan dua peledak import, Junior Sam dan Yann Mabella.