Advertisement
Ronnie Fernandez Antara 5 Watak Sensasi Aksi Selangor vs Jeonbuk Hyundai
ACL
MakanBola
Selangor FC

Perlawanan di antara Selangor vs Jeonbuk Hyundai bakal diserikan lagi dengan aksi hebat 5 watak yang mencuri tumpuan termasuklah Ronnie Fernandez.

Selangor turun pada aksi ketiga ini dengan motivasi tinggi setelah meraih 4 mata dalam dua aksi terdahulu meskipun kehilangan rentak apabila diikat seri bertemu PDRM dalam saingan Liga Super.

Manakala Jeonbuk Hyundai hadir selaku status pendahulu kumpulan setelah mencatat kemenangan bersih namun terpaksa akur tumpas dalam saingan liga domestik minggu lalu.

Pertembungan dua jaguh dari Malaysia dan Korea Selatan ini bakal dihangatkan lagi dengan aksi lima watak sensasi yang dijangka menjadi tumpuan peminat Selangor serta Jeonbuk.

1- Ronnie Fernandez

Peledak utama Selangor ini menjadi tunjang jentera serangan dengan kelebihan sosok fizikalnya yang besar, dilihat mampu menghadirkan ancaman buat barisan benteng pertahanan lawan.

Dengan sembilan gol dan tiga bantuan jaringan pada musim ini termasuklah dalam saingan ACL2, Ronnie dijangka sekali lagi diberi peranan penting untuk merobek pintu gol Jeonbuk Hyundai.

2- Yohandry Orozco

Nama Orozco sudah semestinya menjadi sebutan bahkan pengendali Jeonbuk sendiri mengakui tonggak tengah ini antara pemain yang perlu dirantai oleh anak-anak buahnya pada aksi ini.

Bisa kaki kiri Orozco telah banyak menyumbang buat statistik jaringan Selangor apabila pemain berusia 33 tahun ini telah terlibat dalam 10 gol yang dijaringkan The Red Giants pada musim ini

3- Harith Haiqal

Tahun 2024 ini menyaksikan musim yang cuku cemerlang buat pertahanan muda ini apabila berjaya merekodkan 15 penampilan buat Selangor selain terpilih mewakili Harimau Malaya.

Dengan ketiadaan Safuwan Baharuddin pada aksi ini, kelibat Harith Haiqal pastinya menjadi taruhan Nidzam Jamil untuk membentuk gandingan kebal bersama Umar Eshmurodov.

4- Jin Tae-ho

Pemain muda berusia 18 tahun ini perlu diberikan perhatian oleh barisan pemain Selangor kerana memiliki keupayaan menggelecek dan diakui sendiri oleh pihak kejurulatihan The Red Giants.

Dalam dua aksi ACL2 sebelum ini, Tae-ho sudah meledak dua gol dan satu bantuan jaringan buat juara Liga Korea sembilan kali ini dan pastinya menjadi salah satu watak penting pada aksi ini.

5- Moon Seon-min

Pemain sayap lincah ini pastinya memberi ujian berbeza khusus buat bek kanan Selangor dengan larian deras selain mampu membuat hantaran dan percubaan dari sudut sukar.

Prestasi Seon-min ketika ini berada di tahap terbaik setelah muncul penjaring terbanyak ACL2 dengan tiga gol dan aksi tonggak Korea Selatan ini harus dikunci agar tidak bergerak bebas.

Aksi Selangor vs Jeonbuk Hyundai bakal berlangsung pada Rabu, 23 Oktober di Stadium MBPJ dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8 malam.