Penyerang baharu Selangor, Ronnie Fernandez mahu membantu Selangor menjulang piala bagi musim 2024.
Pemain berusia 33 tahun itu yakin kehadiran dirinya mampu memperkuatkan lagi pasukan Selangor dan turut bercita-cita memenangi kejuaraan bersama kelab tersebut.
Ronnie Fernandez hadir menggantikan bekas penyerang import Selangor pada musim lalu, Ayron Del Valle dan Richmond Boakye-Yiadom yang tidak disambungkan kontrak untuk musim baru.
“Saya rasa dalam bola sepak setiap pemain harus ada sasaran individu. Sudah tentu objektif kelab juga penting namun jika tanya saya objektif secara individu, saya datang untuk memperkuatkan pasukan dan menjulang kejuaraan bersama Selangor.” ujar Ronnie.
Penyerang itu juga mengakui tidak sabar untuk beraksi dalam kancah ACL2 bersama Selangor pada musim hadapan dan turut teruja beraksi di Asia Tenggara buat pertama kali.
“Saya suka bersaing dan suka menang. Kamu akan lihat pemain profesional yang memberikan 100% kepada kelab.”
“Saya mempunyai ramai idola seperti Arturo Vidal kerana kesungguhan beliau ketika bermain. Jika penyerang saya suka Thierry Henry kerana dia pemain yang luar biasa.” ujarnya.
Ronnie Fernandez juga mengakui beliau bukan pemain yang suka bercakap banyak namun lebih gemar membuktikan dirinya diatas padang kelak buat penyokong Selangor.
Penyerang ini turut sempat menyarung jersi kebangsaan Chile pada tahun 2022 ketika bertemu Uruguay dan Brazil dalam saingan kelayakan Piala Dunia.