Advertisement
Sabah Buat ‘Kerja Rumah’ Hadapi Kuching City Kali Kedua
Piala Malaysia
MakanBola
Sabah FC

Pengendali sementara Sabah, Alto Linus akui membuat ulang kaji menjelang perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia berdepan Kuching City.

Rabu lalu, Sabah dan Kuching City bertemu dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri dengan The Rhinos cemerlang meraih tiga mata hasil jaringan Saddil Ramdani dan Gabriel Peres.

Menurut Linus, 3 mata yang diraih di Sarawak sememangnya motivasi terbaik buat anak-anak buahnya dan berharap agar prestasi terbaik ini dapat diteruskan menjelang perlawanan akan datang.

“Kemenangan ini memberi motivasi kepada pasukan Sabah terutama untuk menghadapi skuad kendalian Aidil Shahrin sekali lagi nanti,” ujar Linus kepada pihak Malaysian Football League.

“Saya harap momentum ini akan berkekalan dan beri keputusan terbaik nanti.”

Tambah beliau, beberapa kerja tambahan perlu dilakukan dengan melihat kembali perlawanan terdahulu di Kuching dalam usaha menambah baik kelemahan para pemain.

“Pada masa yang sama, kita akan melihat semula perlawanan tersebut dan mengkaji perkara yang perlu ditambah baik,” kata Linus yang mengambil alih tugas Datuk Ong Kim Swee.

“Yang lebih baik, kita juga dapat kenal pasti serba sedikit kelemahan pasukan mereka.”

“Secara keseluruhan, saya dapat melihat prestasi pemain kini berada pada tahap terbaik dan semakin bagus.”

Skuad kendalian Alto Linus akan berdepan Kuching City dalam aksi suku akhir Piala Malaysia pada 15 Disember dengan perlawanan pertama di Stadium Negeri, Sarawak.