Pengendali Sabah FC, Martin Stano mahu pasukan itu berusaha mengekalkan prestasi cemerlang mereka.
Selepas tewas 1-0 di tangan PDRM FC pada 21 September 2024, Sang Badak kekal tanpa kalah dalam sembilan perlawanan semua kejohanan.
Ini termasuk kejayaan mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2024/25 dengan menewaskan Kuching City FC. Sabah mara dengan meraih kemenangan agregat 1-0.
Kini, Sang Badak berdepan cabaran terbesar mereka iaitu juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 11 Januari ini.
Sabah gagal meraih kemenangan ke atas Harimau Selatan dalam 10 aksi sebelumnya. Ini termasuk kekalahan 3-1 di Stadium Likas pada 13 Julai 2024.
Meskipun sedar dengan cabaran hebat yang bakal dihadapi anak buahnya, Stano mahu Sang Badak tetap menampilkan aksi terbaik demi mendapatkan mata.
“Perkara paling penting bagi saya adalah Sabah FC dapat mengekalkan prestasi semasanya dan terus kekal berada pada tahap maksimum,” katanya.
“Apa yang penting pemain dapat menggalas tugas dengan baik serta menyumbang mata penting nanti.”
Sang Badak bakal turun tanpa tiga tonggak utama iaitu Gabriel Peres, Daniel Ting dan Telmo Castanheira.
Peres perlu menjalani penggantungan perlawanan selepas mengutip kad merah ketika menentang Kuching City di Kuching pada 4 Disember lalu.
Daniel dan Castanheira pula perlu menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengutip kad kuning ketiga dalam perlawanan sebelumnya.