Sabah Selangkah Ke AWCL, Kalahkan Rajshahi Stars
MakanBola
Sabah FA Women’s Team

Sabah FA semakin hampir layak ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) apabila menewaskan kelab Bangladesh, Rajshahi Stars di Stadium Likas.

Selepas membelasah Rovers FC 13-0, Sabah yang dibimbing Bobby Gonzales mahu meneruskan rentak kemenangan. Rajshahi Stars pula memburu kemenangan untuk menghidupkan peluang mereka layak.

Enzi Broussard menjadi pilihan Bobby untuk mengetuai jentera serangan Sabah. Selain beliau, lima lagi tonggak import termasuk pemain Korea Selatan, An Se-bin memperkuatkan cabaran pasukan itu di Stadium Likas.

Separuh masa pertama menyaksikan Rajshahi Stars berusaha menyerap setiap serangan yang dilancarkan Sabah sambil menanti peluang melancarkan serangan balas.

Hal ini memaksa Sabah menunggu sehingga minit ke-42 untuk membuka tirai jaringan menerusi Broussard. Gol tersebut memastikan tuan rumah memiliki kelebihan satu gol sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Rajshahi Stars terus berusaha menghalang serangan Sabah demi memastikan gawang mereka tidak bocor buat kali kedua.

Malangnya, perkara itu berlaku pada minit ke-80. Broussard sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada pasukan itu dengan melepaskan rembatan leret yang menewaskan penjaga gol Rajshahi Stars.

Kelab Bangladesh itu mendapat gol saguhati menerusi pemain gantian, Most Sultana. Rembatan Sultana terkena kaki pemain Sabah sebelum melambung masuk ke dalam jaring.

Rajshahi Stars cuba mencari gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Selepas ini, Sabah akan berentap dengan East Bengal untuk aksi terakhir kelayakan Kumpulan A pada 23 Ogos ini.

Kemenangan cukup penting buat Sabah kerana hanya juara kumpulan saja layak ke peringkat kumpulan AWCL.