Advertisement
Saddil Ramdani Sebak ‘Pertemuan & Perpisahan Terjadi Begitu Cepat’
Liga Super
MakanBola
Sabah FC

Pemain sayap Sabah FC, Saddil Ramdani melihat bahawa pertemuan dan perpisahan dalam pasukan terjadi begitu cepat.

Tonggak berusia 26 tahun itu seakan tidak percaya selepas terpaksa berpisah dengan pengendali, Datuk Ong Kim Swee.

Jurulatih berusia 53 tahun itu mengumumkan perpisahan bersama The Rhinos selepas 36 bulan berkhidmat untuk membawa haluan baharu dalam karier kejurulatihannya.

Situasi ini memberi kesan besar kepada para pemain Sabah yang merasai kehilangan sosok yang begitu bersama dalam pasukan termasuklah Saddil Ramdani.

Pemain kelahiran Indonesia ini pernah melabel Kim Swee sebagai salah seorang jurulatih yang genius menyatakan rasa sedih apabila bakal berpisah selepas mengecapi pelbagai kejayaan bersama.

“Pada akhirnya waktu yang akan terus menjawab setiap perjalanan dan cerita seseorang. Hari ini jurulatih (Kim Swee) telah memberikan kesan cinta, perubahan dalam pasukan dan orang-orang di sekeliling.

“Kota Kinabalu, Sabah tahu apa yang sudah jurulatih capai di sini dan kami sangat sedih mahupun bahagia. Jurulatih (Kim Swee) sekarang sudah ada jalan sendiri untuk mencapai kejayaan yang jauh lebih baik lagi,” katanya menerusi satu hantaran di laman X.

Beliau juga yang begitu sebak merasakan bahawa perpisahan dan pertemuan dalam pasukan terjadi dengan begitu pantas namun masih meninggalkan kesan yang begitu mendalam.

“Meski pertemuan dan perpisahan terjadi begitu cepat, kenangan yang tertinggal akan menyisakan waktu yang lama jurulatih,” tambahnya.

Saddil merupakan ayam tambahan bekas pengendali Malaysia itu bersama Sabah selama tiga musim dan menjadi antara pemain paling banyak beraksi di bawah kendaliannya.

Sabah juga berjaya menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan ketiga selama tiga musim berturut-turut di bawah kendalian Kim Swee.

Tugas terakhir jurulatih berkaliber itu adalah ketika membantu Sang Badak melakar kemenangan 4-0 ke atas PT Athletic pada aksi pertama pusingan 16 terbaik baru-baru ini.