Pemilik Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) beri bayangan pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid bakal kembali ke kancah Liga Malaysia.
Beberapa minggu ini banyak khabar angin dan spekulasi berlegar dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang menjangkakan Safawi akan kembali pulang beraksi ke tanah air pada Jun kelak selepas kontrak pinjaman tamat. Beliau telah dipinjamkan dari JDT ke Ratchaburi yang beraksi di Liga 1 Thailand bersama Moussa Sidibe.
TMJ memaklumkan bahawa Safawi seakan kurang selesa beraksi di Thailand. Beliau menjelaskan sebenarnya pilihan untuk beraksi di Thailand ini adalah pilihan Safawi sendiri yang ingin meraih minit permainan.
“Safawi ada berhubung dengan saya dan saya rasa dia tidak begitu selesa disana (Thailand). Kita tengok macammana kerana yang nak pergi loan ni bukan saya yang hantar dia, dia yang nak pergi loan. Kami hanya beri kerjasama dimana dia kata mahu mendapatkan lebih minit permainan.”
JDT dalam pada itu belum membuat sebarang keputusan buat pemain berusia 26 tahun itu. Tiada kata putus berkaitan hal tersebut dan semestinya para peminat bola sepak di Malaysia terus menantikan pengesahan tentang perkara itu pada masa akan datang.
“Buat masa ini belum ada kata putus lagi. Tak tahu dia (Safawi) nak balik atau tidak tetapi saya tahu dia kurang selesa disana. Adalah ura-ura yang mengatakan kalau boleh nak balik sini (JDT). Kita tengok dulu, saya pun belum ada kata putus dan belum membuat keputusan,” jelas TMJ ketika ditemu bual Astro Arena.