Pemain sayap muda Harimau Malaya, G. Pavithran mendedahkan Safawi Rasid sebagai idolanya dalam dunia bola sepak.
Pavithran memaklumkan sebelum menyertai akademi Johor Darul Ta’zim (JDT), beliau bukan peminat tegar sukan bola sepak. Meskipun meminati sukan berkenaan, beliau tidak kerap menonton perlawanan.
Walau bagaimanapun, segalanya berubah apabila beliau berkelana ke selatan tanah air. Selepas menonton banyak perlawanan, Pavithran tertarik dengan corak permainan yang ditampilkan Safawi di atas padang.
Beliau mengakui meminati bintang Harimau Malaya itu kerana berkongsi persamaan dengannya. Selain beraksi di posisi sayap, Pavithran dan Safawi juga suka menggunakan kaki kiri.
“Sebelum menyertai JDT, saya bukanlah peminat tegar bola sepak. Saya suka sukan ini tetapi tidak selalu menontonya. Tetapi selepas berpindah ke Johor dan menonton JDT bermain di stadium mereka, saya mengagumi Safawi Rasid.
“Kami berdua berkaki kiri dan bermain sebagai pemain sayap. Saya suka melihat gaya dan jaringannya. Beliau sememangnya inspirasi saya,” katanya kepada ASEAN United.
Sejak dipanggil menyertai kem Harimau Malaya untuk ASEAN Hyundai Cup, Pavithran menjadi tonggak utama serangan bersama kapten, Paulo Josue dan seorang lagi pemain sayap JDT, Mohamadou Sumareh.
Beliau juga turut merekodkan gol sulung bersama skuad kebangsaan ketika menentang Filipina dalam aksi terakhir Kumpulan B. Gol kemenangan Pavithran memastikan Harimau Malaya layak ke separuh akhir.