Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar menafikan dakwaan ‘liar’ penyokong bola sepak Malaysia yang menuduh terdapat ‘tangan ghaib’ yang memilih senarai pemain skuad kebangsaan.
Seperti yang dilaporkan oleh Firdaus Hashim, Arena Metro, Saifuddin menjelaskan pemilihan pemain adalah dilakukan oleh Tan Cheng Hoe tanpa ada sebarang campur tangan orang luar.
“Mana ada campur tangan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahupun orang luar dalam pemilihan pemain. Tan Cheng Hoe bukan baru dalam bola sepak, dia sudah 15 tahun sebagai jurulatih dan dia tahu akan tanggungjawabnya untuk memilih pemain.”
“Sememangnya pemilihan adalah sepenuhnya di bawah beliau dan kita sentiasa menyokong. Tapi bila kata FAM atau orang luar yang tentukan pemilihan pemain, itu tak benar.”
“Biasalah itu, bila kalah timbul macam-macam dakwaan. Cuba kalau kita menang hari itu, dah tentu cerita jadi lain,” katanya kepada Arena Metro.
Beliau turut menjelaskan bedah siasat kekalahan di Piala AFF 2020 adalah prosedur biasa setiap kali habis sesuatu kejohanan dan pasukan harus membuat pembentangan dalam mesyuarat jawatankuasa.
Sebelum ini tular beberapa dakwaan berkaitan ‘tangan ghaib’ yang menggangu ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.
Malaysia sebelum ini tewas kepada Indonesia 1-4 dalam perlawanan terakhir kumpulan B Piala AFF 2020 sekaligus gagal mara ke separuh akhir.