Salah Satu Cadangan Tunku Ismail Tertiris?
MakanBola
Johor Southern Tigers

Salah satu cadangan di dalam modul yang dikemukan oleh Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor dilaporkan tertiris

Tunku Ismail berkenan hadir ke sesi meja bulat MFL yang diadakan di ibu kota untuk membincangkan dan mencari solusi bagi mengatasi isu yang dihadapi kelab-kelab Liga Super.

Sebanyak 5 isu bola sepak yang dikemukan oleh Baginda dalam sesi tersebut melibatkan pembangunan akar umbi terutama pertandingan yang kurang kompetitif dan badan pengadil profesional.

Baginda memaklumkan kesemua isu yang dibawa itu sudah pun dibangkitkan dengan konsisten selama bertahun-tahun tetapi masih berlarutan sehingga hari ini tanpa ada satu pun solusi.

Oleh itu, Tunku Ismail mengedarkan kertas cadangan model kepada wakil-wakil 13 kelab Liga Super dan MFL yang hadir sebagai salah satu usaha Baginda mencari solusi kepada isu-isu yang dinyatakan.

Walau bagaimanapun, sehingga kini masih belum terdapat sebarang pendedahan berkenaan isi kandungan kertas cadangan tersebut daripada mana-mana wakil kelab atau pun MFL.

Menurut laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, salah satu solusi yang dikemukan di dalam kertas cadangan tersebut adalah idea untuk MFL menubuhkan platform digital tersendiri.

Idea menubuhkan platform ini dilaporkan bakal menjadi satu medium untuk para peminat memperoleh kandungan secara terus menerusi langganan, sekali gus memberi manfaat buat kelab dari aspek kewangan.

”Platform digital sendiri dengan langganan terus kepada penyokong difahamkan jadi cadangan dalam modul lima muka surat oleh Tunku Mahkota Ismail sebagai penyelesaian isu Liga Malaysia,” lapor Zulhelmi Zainal Azam.

Kertas cadangan dari Tunku Ismail ini akan dinilai oleh pihak MFL dan kesemu kelab sebelum satu lagi sesi dijangka akan diadakan sebelum musim baharu bagi memperhalusi setiap solusi bersama.