Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Bergson da Silva mengakui gembira kerana melakar sejarah bersama pasukan itu semalam.
Aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC menyaksikan penyerang Brazil itu meledakkan gol ke-100 dan 101 bersama Harimau Selatan.
Itu menjadikan rekodnya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman JDT sukar dicabar. Menariknya, daripada 101 gol yang dijaringkan Bergson, 67 daripadanya dijaringkan dalam saingan Liga Super.
22 gol lagi dijaringkan dalam Piala Malaysia. Manakala baki 12 gol lagi dijaringkan dalam aksi Piala FA dan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Bergson melihat pencapaian ini sebagai satu motivasi buat dirinya untuk melakar lebih banyak kejayaan bersama Harimau Selatan.
“Sejujurnya, dari hari pertama saya di sini (JDT) sehingga sekarang, saya tak pernah terfikir untuk meletakkan sasaran dan melakukannya.
“Dan sekarang, itu yang berlaku. Ini perkara benar dan ia benar-benar berlaku. Tapi itu tidak pernah cukup untuk saya. Seperti yang saya kata dari hari pertama sampai sekarang, keinginan masih sama.
“Saya fikir (ia bertambah) dari hari ke hari. Saya rasa gembira dan bangga dapat melakar sejarah saya di sini (JDT), untuk menunjukkan kepada semua orang siapa diri saya. Apa yang saya boleh lakukan kepada pasukan.
“Dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada bos (TMJ), penyokong dan semua orang yang menyokong saya. Kerja kita masih lagi berjalan dan berterusan, saya akan lakukan yang terbaik setiap kali (beraksi) untuk kelab,” katanya dalam temubual selepas perlawanan semalam.
JDT kini menanti pemenang antara Perak FC dan Sabah FC bagi menentukan lawan mereka di pentas separuh akhir.