Tiga pemain Harimau Malaya termasuk G. Pavithran mempamerkan aksi cemerlang ketika menentang Filipina dalam aksi terakhir Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup.
Selain beliau, dua lagi pemain yang cemerlang dalam aksi sama ialah Sergio Aguero dan Ubaidullah Shamsul Fazili. Semakan di Sofascore menunjukkan ketiga-tiga pemain masing-masing meraih 8.0, 7.7 dan 7.4 mata.
Pavithran mendapat markah tinggi bukan saja kerana menjaringkan gol kemenangan Malaysia dalam perlawanan itu. Malah, kelincahan dan kepantasan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) II sentiasa mencemaskan benteng Filipina.
Aguero terus membuktikan dirinya boleh diharap selaku jeneral di bahagian tengah. Selain melindungi benteng Harimau Malaya daripada dibolosi pihak lawan, beliau turut mengawal tempo permainan dan memastikan penguasaan bola.
Prestasi konsisten Aguero jelas kelihatan sejak aksi pertama menentang Myanmar lagi. Malah, prestasi beliau sebagai pemain tengah bertahan turut mendapat pujian jurulatih Thailand, Anthony Hudson dan kapten Thailand, Sarach Yooyen.
Ubaidullah pula terus membuktikan mengapa beliau sentiasa menjadi pilihan untuk mengisi slot bek tengah. Selain tenang mengawal bola, bek tengah Terengganu FC itu kerap memecahkan serangan pihak lawan.
Selain trio ini, pujian juga harus diberi kepada Rodney Celvin Akwensivie, Alif Ahmad dan Faris Danish Asrul. Trio ini masing-masing mendapat markah 7.3, 7.3 dan 7.0 mata.
Kombinasi mereka dan Ubaidullah memastikan gawang Harimau Malaya yang dikawal Azri Ghani tidak dibolosi buat kali kedua dalam kejohanan. Lebih menarik, Alif bangkit dengan mempamerkan persembahan terpuji ketika menentang Filipina.
Selepas dikritik ekoran prestasi kurang memberangsangkan dalam beberapa perlawanan, Alif membuktikan dirinya boleh diharap sebagai pengganti Jimmy Raymond. Jimmy terpaksa melupakan kempen ASEAN Hyundai Cup akibat kecederaan.
Susulan kemenangan ke atas Filipina, Malaysia menempah tiket ke separuh akhir ASEAN Hyundai Cup. Harimau Malaya dijadual bertemu juara Kumpulan A, Vietnam di peringkat separuh akhir.