Advertisement

Follow us:

Selangor Intai Khidmat Mahmoud Al-Mawas

Mahmoud Al Mawas AL Shorta SC Selangor Intai Khidmat Mahmoud Al-Mawas
Al-Shorta SC
Azim Noor
@mohdazim45
1:56pm 26/12/2022
Pivo

Dengan beberapa perpindahan yang diumumkan setakat ini, Selangor ingin membuktikan cabaran mereka dalam Liga Malaysia musim hadapan tidak boleh dipandang remeh. Selepas mengesahkan khidmat V. Ruventhiran, Khuzaimi Piee dan Faisal Halim, skuad Merah Kuning yang dibimbing Tan Cheng Hoe dikhabarkan sedang mengintai khidmat pemain sayap Syria, Mahmoud Al-Mawas.

Khabar angin ini didedahkan oleh wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran dalam ciapannya di Twitter. Ketika ini, Mahmoud beraksi bersama pasukan Liga Perdana Iraq yang berpangkalan di Rusafa, Baghdad, Al-Shorta.

Pemain sayap yang pernah beraksi dengan FC Botosani (Romania), Umm Salal (Qatar) dan Al-Arabi (Kuwait) membuktikan dirinya sebagai ancaman kepada gol pihak lawan. Buktinya, Mahmoud menggondol gelaran Kasut Emas dengan 22 gol semasa membantu Al-Shorta menjulang Liga Perdana Iraq musim 2021-2022.

Dan pemain ini langsung tidak gentar bila beraksi dalam perlawanan-perlawanan penting. Misalnya, semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 peringkat Asia, Mahmoud menjadi wira skuad kebangsaan Syria dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan mengalahkan China di Xi’an pada Oktober 2016.

Sekiranya minat ini diterjemah dalam bentuk perpindahan, Mahmoud bakal bergandingan dengan Faisal di bahagian serangan. Tetapi siapa bakal mengetuai mereka di bahagian hadapan? Tidak mustahil peranan itu akan digalas oleh Herlison Caion memandangkan wujud perbincangan antara Selangor dan kem Caion berkenaan kontrak baru.