Menjelang aksi Liga Super Selangor-Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal berlangsung pada Jumaat ini, pengurusan Merah Kuning berharap kontroversi pengadilan perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan pada musim lepas tidak berulang.
Susulan ketidakpuasan hati terhadap beberapa keputusan perlawanan Selangor-JDT di Stadium MBPJ pada musim lepas, sekumpulan penyokong Selangor menyerang pengadil di luar stadium selepas tamat perlawanan.
Tetapi yang paling diingati semua ketika itu ialah kritikan keras Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon terhadap pengadil di luar stadium. Justeru, bagi pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, apa yang berlaku pada tahun lepas ialah satu pengajaran dengan semua isu pengadilan kini akan dirujuk kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Saya rasa perkara yang berlaku itu (insiden pengadil diserang di luar stadium) telah dijadikan sebagai pengajaran besar untuk semua pihak, dalam hal ini isu-isu mengenai kepengadilan perlawanan kita serahkan kepada mereka yang berkuasa dalam hal pengadilan ini, untuk memantau prestasi pengadil-pengadil yang beraksi setakat ini.
“Dan saya rasa kita sebagai pentadbir pasukan, kita berharap dan akan menyokong penuh usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh FAM dalam meningkat mutu kepengadilan ini.
“Pengadil (yang akan mengadili) itu pun kita tak tahu siapa, dan harap boleh mengawal perlawanan dan tempo dengan baik,” katanya kepada Arena Metro dalam Majlis Pengenalan Rakan-Rakan Strategi Selangor FC 2023 di Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam hari ini.
Mahfizul juga berharap anak-anak buah Tan Cheng Hoe mampu menjaga emosi dan disiplin bila berdepan anak-anak buah Esteban Solari pada Jumaat ini. Ini kerana dengan berbuat demikian, pemain-pemain akan kekal profesional dan tidak mudah termakan provokasi pihak lawan.
“Pada saya pemain-pemain yang ada dah cukup pengalaman, contohnya macam dalam pasukan ada lapan hingga sembilan orang yang biasa dengan perlawanan antarabangsa.
“Jadi dari segi emosi atau kawalan perlawanan itu sendiri, mereka secara profesional boleh kawal. Namun kita berharap tidak berlaku usaha-usaha provokasi, supaya secara tak langsung dapat mencerminkan semangat kesukanan yang tinggi,” tambahnya.