Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) bakal mendapat sokongan padu 700 orang penyokong menjelang aksi Liga Super menentang Selangor FC pada 27 Oktober ini.
Ini selepas pengurusan Merah Kuning memaklumkan kesemua 700 tiket untuk penyokong pasukan pelawat sudah habis dijual. Perkara ini dinyatakan dalam satu pengumuman di platform media sosial rasmi Selangor.
Pengurusan Merah Kuning turut menyertakan beberapa ingatan buat penyokong yang membeli tiket yang diperuntukkan untuk Harimau Selatan.
Antara ingatan tersebut ialah penyokong pelawat tidak dibenarkan membeli tiket yang diperuntukkan untuk penyokong Selangor.
Penyokong yang memakai baju JDT juga tidak dibenarkan masuk mengikut pintu Stadium MBPJ yang dikhaskan untuk penyokong tuan rumah.
Penyokong Harimau Selatan turut dimaklumkan bahawa tiada jualan tiket secara fizikal mahupun dalam talian untuk bahagian pelawat.
Peringatan ini dikeluarkan pengurusan Selangor bagi memastikan aksi perlawanan pada 27 Oktober ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Selangor dilihat bersemangat menghadapi JDT selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Aksi ini juga dilihat peluang buat Merah Kuning membalas dendam kepada Harimau Selatan. Ini selepas JDT membelasah Selangor 6-1 di pentas final Piala FA 2024.
Kejayaan ini bukan saja memastikan JDT muncul juara Piala FA buat kali ketiga berturut-turut. Malah, ini memastikan Selangor kempunan bergelar juara sejak edisi 2009.