Naib juara Liga Super 2023, Selangor FC menerima kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan hati yang terbuka.
Perkara ini dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yakin segala keputusan yang diambil oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) adalah mengikut peraturan yang ditetapkan.
The Red Giants telah pun membuat keputusan untuk tidak hadir pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim susulan isu keselamatan pasukan.
Hal ini disebabkan insiden yang melanda pemain sayap pasukan, Faisal Halim yang diserang menggunakan cecair yang dipercayai asid.
MFL telah membuat keputusan untuk memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada JDT sekaligus dinobatkan sebagai juara pada edisi kali ini.
“Apa yang pihak Selangor buat hanyalah menghantar surat untuk menangguhkan aksi Piala Sumbangsih tetapi tidak diterima. Keputusan telah dibuat.
“Sekiranya apa-apa keputusan lain yang ingin dibuat oleh MFL, saya serahkan kepada MFL. Jangan membebankan dan keruhkan keadaan.
Shahril juga yakin pihak kelab tidak akan protes kemenangan JDT kerana sudah termaktub dalam undang-undang yang ditetapkan.
“Itu undang-undang, saya tidak akan protes. Ini kerana menurut MFL, sekiranya pasukan tidak hadir, kemenangan 3-0 akan diberikan kepada lawan.
“Sebab itu pihak JDT tidak pernah pertikai. Itu hak JDT, cuma harapan saya sekiranya ada tindakan atau denda daripada pihak MFL maka perhalusi dahulu,” jelasnya ketika ditemui media hari ini.
Selangor akan memulakan aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman di Stadium MBPJ pada 18 Mei 2024 jam 8:15 malam.