Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham menyatakan kerisauan terhadap kemarau trofi yang dihadapi Selangor FC meskipun menerima dana RM30 juta setahun.
Reputasi Selangor selaku pemenang trofi cukup disegani terutama di peringkat domestik. Saingan Piala Malaysia sahaja menyaksikan Merah Kuning muncul juara sebanyak 33 kali.
Selain Piala Malaysia, Selangor juga sudah merasai nikmat bergelar juara Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.
Walau bagaimanapun, kali terakhir Selangor merasai gelaran juara ialah tahun 2015 menerusi pencapaian Piala Malaysia. Sejak itu, usaha Merah Kuning untuk mengakhiri kemarau kejuaraan berakhir dengan kekecewaan.
Terbaru, usaha Selangor untuk meraih gelaran juara Piala FA 2024 berakhir dengan kekecewaan. Ini selepas pasukan itu dibelasah 6-1 oleh penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Hilman merasakan Selangor terus buntu mengakhiri kemarau trofi tatkala pasukan itu didakwa menerima peruntukan RM10 juta daripada kerajaan negeri Selangor.
Malah, beliau mendakwa bahawa anak-anak syarikat kerajaan negeri turut membantu dengan menyumbang RM20 juta kepada kantung kewangan pasukan itu.
“Kita (kerajaan negeri Selangor) peruntuk RM10 juta, anak syarikat bantu lagi RM20 juta. Dalam kita berbelanja begitu besar untuk sukan bola sepak, kalau kita ingat, kali terakhir kita dapat piala ini ialah tahun 2015,” katanya dalam sidang DUN Selangor baru-baru ini.
Hilman berpandangan dengan dana yang diterima pengurusan Merah Kuning, pengurusan pasukan harus bersifat lebih bijak dalam membuat sebarang keputusan.
Ini kerana pada akhirnya, beliau ingin melihat dana berkenaan dapat membawa Selangor ke tahap yang lebih tinggi termasuk kejayaan trofi.
“Isunya bukan saya nak bahas peruntukan itu cukup ataupun tidak, saya nak bangkitkan di sini ialah konsistensi pengurusan bola sepak negeri Selangor.
“Ini supaya kita dapat mencapai satu tahap yang lebih menyakinkan. Dan pada masa yang sama, kita dapat menamatkan kemarau kejuaraan piala yang mana tahun depan genaplah 10 tahun kita kemarau daripada sebarang kejuaraan,” ujarnya.
Selangor kini dalam kedudukan baik untuk mara ke pusingan separuh akhir MFL Challenge Cup 2024/25. Ini selepas Merah Kuning membelasah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 5-1 dalam aksi pertama suku akhir pada 12 Disember lalu.
Fokus Selangor kini beralih kepada aksi Liga Super menentang Perak FC pada 17 Disember ini. Ini disusuli aksi suku akhir kedua dengan Kelantan DN pada 22 Disember.