JDT nampaknya semakin rancak mengetengahkan bakat-bakat muda untuk menjadi superstar dalam kancah Liga Malaysia.
Selepas mengangkat nama-nama seperti Afiq Fazail, Ramadhan Saifullah dan Arif Aiman, kelab selatan tanah air itu sedang mempersiapkan pula seorang lagi anak muda, K.Daryl Sham.
Bintang kelahiran Johor Bharu berusia 20 tahun itu, mengharungi musim 2022 yang cukup gemilang, apabila menjadi salah seorang tonggak yang membantu JDT II menjulang trofi Liga Premier.
Dia mencuri tumpuan apabila menjaringkan sembilan gol (penjaring terbanyak tempatan) dan berada di kedudukan kedua carta penjaring terbanyak, hanya dua gol di belakang Abu Kamara yang muncul pemenang kasut emas.
Lebih manis buat Daryl Sham, pengendali JDT, Hector Bidoglio turut memantau kualiti dan perkembangannya dari semasa ke semasa, malah menurunkannya dalam aksi terakhir Liga Super menentang Sabah pada 15 Oktober lalu.
Sebelum ini, dia juga pernah diberikan peluang oleh Benjamin Mora pada awal musim untuk mengutip pengalaman bersama skuad senior ketika menentang BRM FC dalam saingan Piala FA, malah menjaringkan satu gol dalam perlawanan itu.
Bidoglio tidak menafikan Daryl Sham mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dalam kariernya berdasarkan prestasi mengagumkan yang telah ditunjukkan ketika ini.
“Daryl adalah pemain yang penting yang perlu dijaga oleh kelab ini, dia mempunyai masa depan yang cerah. Tetapi jika ingin terus bermain untuk skuad utama JDT, dia tidak boleh cepat berpuas hati dan perlu gandakan usaha, masih banyak benda yang perlu dilakukan.
“Barisan kejurulatihan dan teknikal sentiasa memantau perkembangannya, dia berlatih dengan baik dalam setiap latihan dan sikap ini adalah baik untuk memberikan sesuatu kepada kelab nanti”, ujar Bidoglio.
Sebagai rekod, selain Liga Premier, Daryl Sham turut menjulang trofi Piala Presiden bersama pasukan JDT III dan turut memperkuatkan skuad SUKMA Johor yang mara sehingga ke peringkat suku akhir.
“Untuk musim depan, saya harap boleh lagi menyinar dengan pasukan serta mendapatkan minit permainan yang banyak,” kata pemain itu dalam satu temubual.