Pemain skuad Harimau Malaya, Zhafri Yahya menyatakan keazaman beliau untuk mendapatkan tempat di skuad kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-gon.
Pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) itu juga mensasarkan untuk mendapatkan minit permainan bersama skuad kebangsaan.
“Sasaran pertama saya adalah untuk terpilih bersama skuad Harimau Malaya dan yang kedua ialah saya nak dapatkan minit permainan. Itu yang paling penting untuk saya sekarang.
Zhafri juga menyatakan sebelum ini bahawa beliau memang inginkan berada bersama skuad kebangsaan. Selepas nama beliau tersenarai dalam senarai menunggu, beliau sudah pun bersedia untuk dipanggil bila-bila masa.
“Sebelum ni saya pernah cakap yang saya ingin berada bersama skuad Harimau Malaya, jadi keberadaan saya dalam senarai menunggu itu saya masih bersikap positif dan sentiasa bersedia untuk dipanggil. Saya sangat bersyukur berada di dalam senarai 30 pemain skuad negara.” jelasnya kepada wartawan.
Dalam masa yang sama, Zhafri juga mendedahkan corak latihan yang diterapkan Kim Pan-gon dilihat hampir sama dengan corak latihan yang diterapkan jurulatih KL City, Bojan Hodak.
Pada akhir temubual, Zhafri sempat merakamkan penghargaan kepada pengendali KL City, Bojan Hodak yang sentiasa memberi beliau peluang.
“Bila di bawah kendalian Bojan, dia sangat memberikan ruang dan peluang untuk saya buktikan kemampuan saya dan akhirnya saya dapat juga membuktikan kepada dia dan pasukan.” tambah Zhafri.
Untuk rekod Zhafri Yahya berada di senarai menunggu sebelum ini. Namun rezeki memihak beliau apabila nama beliau dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan bagi menggantikan Darren Lok yang disahkan positif covid-19.