Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) III mengetuai senarai 12 pasukan yang bertanding dalam saingan Piala Presiden 2026.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 12 pasukan yang akan bertanding untuk edisi 2026.
Selain JDT III, naib juara, Selangor FC dan pemenang tempat ketiga musim lalu, Terengganu FC Bawah 20 Tahun (B-20) juga bakal memberi saingan musim ini.
Turut sama menyertai kejohanan itu ialah Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (Kuala Lumpur FA), Penang FC II, Sabah FC II dan Negeri Sembilan FC III.
Kuching City FC, PDRM FC, Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA), Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan MISC-Touchtronics FC melengkapkan senarai pasukan yang bertanding.
Saingan Piala Presiden 2026 akan berlangsung dari 18 April hingga 26 November ini. Musim 2026 turut menyaksikan format liga dua pusingan digunakan seperti pada musim 2025.