Badan bebas, First Instance Body (FIB) mengumumkan tujuh kelab Liga Super berjaya memperoleh Lesen AFC dan Kebangsaan bagi kitaran pelesenan 2025–2026 selepas mesyuarat rasmi Jawatankuasa FIB Pelesenan Kelab Malaysian Football League (MFL) diadakan pada 25 Mei lalu.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh pemangku Pengerusi FIB, Hussaini Hussin yang menggantikan Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif yang kini sedang menunaikan ibadah haji.
Menurut kenyataan rasmi FIB, proses penilaian dibuat berdasarkan dokumen permohonan dikemukakan setiap kelab mengikut Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2025–2026 (MFL CLR).
Penilaian tersebut melibatkan enam kriteria utama iaitu sukan, infrastruktur, personel dan pentadbiran, perundangan, kewangan serta perniagaan.
Hasil penilaian itu menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Sabah FC berjaya memperoleh Lesen AFC dan Kebangsaan bagi musim 2026–2027.
Dalam masa sama, empat kelab lagi diberikan Lesen Kebangsaan berserta “sanction” iaitu Imigresen FC, Melaka FC, Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC.
Keempat-empat pasukan tersebut perlu mengemukakan maklumat tambahan berkaitan kewangan dan infrastruktur selewat-lewatnya pada 15 Julai 2026 bagi memenuhi syarat ditetapkan FIB.
Selain itu, Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC turut dikenakan denda sebanyak RM45,000 mengikut Artikel 8(f) MFL CLR.
FIB turut mengesahkan bahawa Kelantan The Real Warriors FC gagal memperoleh Lesen Kebangsaan selepas permohonan mereka tidak memenuhi syarat pelesenan ditetapkan.
Bagi saingan Liga A1 Semi-Pro pula, empat kelab berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa iaitu Kelantan Red Warrior FC, UM Damansara United FC, Armed Forces FC dan Bunga Raya FC.
Menurut FIB, lesen yang diluluskan hanya sah untuk satu musim pertandingan iaitu musim 2026–2027 bagi pertandingan AFC dan Liga Super MFL.