Pusingan suku akhir Piala Malaysia bakal dimeriahkan lagi dengan kehadiran 8 kelab hebat yang berjaya melayakkan diri.
Kempen Piala Malaysia 2025-2026 akan memasuki peringkat suku akhir selepas 8 daripada 16 pasukan yang terpilih telah berhasil melepasi cabaran lawan masing-masing di pusingan awal.
Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan awal apabila berjaya melangkah ke suku akhir setelah mudah menyingkirkan PDRM hasil kemenangan agregat selesa 10-1.
Salah satu kejutan ramai adalah apabila Melaka berjaya mara ke suku akhir selepas membenam tentangan finalis Piala FA, Sabah dengan kemenangan agregat 5-2 setelah menang 3-0 di Likas.
Berbeza dengan satu lagi wakil dari Borneo iaitu Kuching City yang berjaya bangkit mengatasi defisit satu jaringan sebelum menghampakan Penang dengan kemenangan 2-0 di tempat sendiri.
Kebangkitan turut dicipta oleh KL City yang tewas dalam aksi pertama kepada Perak FA sebelum kembali meledak 3 gol di laman sendiri dan layak ke suku akhir hasil agregat 3-2 pada Ahad.
Terengganu meraikan kejayaan layak ke suku akhir dengan berpesta gol menumbangkan wakil Liga A1 Semi-Pro, UM-Damansara 7-0 untuk mengikuti jejak langkah pasukan lain.
Malah, kemaraan ke suku akhir ini turut disertai DPMM yang berhasil mengecewakan Kelantan Red Warrior 3-1 meskipun kedua-dua pasukan ini terikat seri 1-1 dalam aksi timbal balik kedua.
Sementara itu, Selangor dengan status juara Piala Malaysia 33 kali berjaya melangkah ke suku akhir selepas mengatasi Kelantan The Real Warrior 5-1 secara agregat dan menepati ramalan.
Slot terakhir ke suku akhir Piala Malaysia menjadi milik Negeri Sembilan selepas gol tunggal Luqman Hakim mengecewakan Imigresen yang terpaksa akur tumpas 1-0 di pusingan awal di Paroi.
Pusingan suku akhir Piala Malaysia ini bakal menemukan JDT dan Melaka tatkala Terengganu akan melakukan perhitungan bersama KL City untuk merebut tempat ke peringkat separuh akhir.
Negeri Sembilan dan Selangor akan bertemu sesama sendiri sementara Derbi Borneo bakal menghangatkan pentas suku akhir nanti dengan perlawanan antara DPMM dan Kuching City.
Jadual suku akhir Piala Malaysia akan bermula pada 7 dan 8 Februari hadapan untuk aksi timbal balik pertama sebelum perlawanan kedua yang dijadualkan berlangsung seminggu kemudian.
Terengganu vs Melaka (7 & 13 Februari).
Melaka vs JDT (7 & 13 Februari).
Negeri Sembilan vs Selangor (8 dan 14 Februari).
DPMM vs Kuching City (8 dan 14 Februari).