Advertisement
Senarai Lengkap Wakil Malaysia Di BWF World Tour Finals
UltraSukan
UltraSukan
Olympic Malaysia

Enam wakil negara membawa cabaran Malaysia dalam saingan World Tour Finals (WTF) 2024 di Hangzhou, China.

Enam jaguh berkenaan ialah Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Pearly Tan-M. Thinaah, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Kesemua enam wakil negara layak selepas Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) memuktamadkan senarai Race to Hangzhou bagi pemain yang akan beraksi di Hangzhou.

Zii Jia berjaya layak ke WTF meskipun tersingkir dalam pusingan pertama China Masters 2024. Ini selepas pencabar terdekatnya dari Jepun, Koki Watanabe tewas kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2024, Viktor Axelsen.

Ini penampilan ketiga Zii Jia dalam saingan WTF selepas melakukannya pada tahun 2020 dan 2021. Ini juga kali pertama Malaysia memiliki wakil dalam acara perseorangan lelaki menerusi beliau sejak 2021.

Aaron-Wooi Yik dan Sze Fei-Izzuddin membawa cabaran dalam acara beregu lelaki. Kedua-dua beregu mengesahkan kelayakan meskipun tersingkir di peringkat suku akhir China Masters 2024.

Aaron-Wooi Yik dilihat antara wakil negara yang berpengalaman apabila layak ke WTF buat kali kelima. Sze Fei-Izzuddin pula berpotensi memberi cabaran hebat dalam penampilan pertama mereka di Hangzhou.

Pengalaman WTF dijangka tidak memberi masalah kepada Pearly-Thinaah, Tang Jie-Ee Wei dan Soon Huat-Shevon. Tang Jie-Ee Wei dan Soon Huat masing-masing membuat penampilan kedua dan keempat untuk saingan WTF.

Pencabar tunggal Malaysia dalam acara beregu wanita, Pearly-Thinaah membuat penampilan ketiga dalam saingan WTF.

Saingan WTF dijangka berlangsung dari 11 hingga 15 Disember ini. Pemenang kejohanan bukan saja berpeluang meraih hadiah kemenangan AS$200,000 (RM892,000).

Malah, pemenang WTF juga berpeluang memperbaiki kedudukan ranking mereka. Ini kerana saingan WTF menawarkan kutipan mata ranking sebanyak 14,000 mata untuk pemenang.