Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan kelab gergasi dari Selatan itu yang kini berjaya menempatkan diri dalam senarai kelab bola sepak terbaik di Asia.
Kejayaan yang diraih JDT ini merupakan kejayaan yang harus dibanggakan seluruh rakyat Malaysia. JDT telah berjaya memecahkan rekod demi rekod sekaligus membuktikan mereka layak diangkat sebagai kelab bola sepak terbaik tanah air ketika ini.
Dalam satu komen yang ditinggalkan TMJ, beliau menyatakan bahawa JDT akan terus melangkah kehadapan. Beliau menjelaskan bahawa kelabnya itu merupakan perintis dan peneraju kepada industri bola sepak tanah air.
“Rekod demi rekod. Sentiasa mencipta sejarah dan memecahkan rekod. Sentiasa melangkah kehadapan. Kami peneraju, bukan muzium,” tulis TMJ di Instagram.
JDT yang kini berjaya memintas ranking kelab dari Thailand, Buriram United selaku kelab nombor satu Asia Tenggara turut menunjukkan peningkatan dari segi kedudukan ranking di Asia.
Ranking kelab terkaya Malaysia ini melonjak naik dan kini menduduki tangga ke-16 terbaik di Asia.
Dalam saingan Liga Super 2023, Johor Darul Ta’zim mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas liga dengan 20 kemenangan berturut-turut dicatat JDT.
Anak buah kendalian Esteban Solari ini bakal meneruskan cabaran Liga Malaysia di pentas Piala Malaysia 2023 bertemu Kelantan pada Sabtu, 19 April di Stadium Sultan Ibrahim kelak.