Seorang jurulatih pasukan Liga Super Malaysia dilaporkan bakal dipecat.
Aksi Liga Super baru memasuki minggu ke-14 dengan JDT kini rancak mendahului carta saingan dengan kelebihan 8 mata ke atas pasukan kedua, Selangor FC.
Namun begitu, nasib seimbang dialami oleh pasukan lain apabila Sabah FC yang menghun tangga ketiga hanya dipisahkan 6 mata dengan pasukan PDRM di tangga keenam.
Perkhabaran kurang baik diterima oleh pasukan Penang FC apabila dikhabarkan Ketua Jurulatih, Akmal Rizal telah direhatkan daripada tugasannya.
Khabar terbaru menyusul apabila seorang lagi pengendali dilaporkan bakal kehilangan jawatannya susulan prestasi kurang baik pasukan.
Perkara ini dilaporkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam berkenaan teka-teki seorang jurulatih yang bakal mengucapkan selamat tinggal tidak lama lagi.
“Jurulatih sebuah pasukan Liga Super bakal ucap selamat tinggal,” ujarnya menerusi satu ciapan di laman X.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara tepat mengenai identiti pengendali yang dimaksudkan ini.
Setakat ini, masih tiada pengumuman rasmi daripada mana-mana kelab berkenaan perpisahan dengan ketua jurulatih pasukan.
Saingan Liga Super minggu 15 bakal bersambung pada 1 November hingga 3 November.