Tatkala sesetengah bekas pemain memilih karier baru sebagai jurulatih selepas bersara, itu bukan pilihan buat legenda Manchester City, Sergio Aguero. Beliau bimbang jika beliau menjadi jurulatih, kepalanya akan jadi botak sama seperti bos lamanya di Etihad, Pep Guardiola.
Aguero, 34, bermain selama lima tahun di bawah bimbingan Guardiola di Etihad dan menjaringkan 260 gol dalam 390 perlawanan. Bagaimanapun, bekas penyerang Atletico Madrid itu terpaksa bersara akibat masalah jantung pada 2021 selepas menyertai Barcelona.
Tetapi beliau agak keberatan mengikut jejak langkah ramai bekas rakan sepasukan menjadi jurulatih – terima kasih kepada imej botak Guardiola.
“Bukan senang nak jadi jurulatih. Tengok Pep, dia jadi botak sebab terlalu banyak berfikir. Saya maksudkan, Pep sememangnya seorang pemikir tetapi itu juga yang membantu dia sebagai jurulatih menjulang 10 kejuaraan liga di tiga negara.
“Saya fikir dia sedia menukar beberapa helai rambut dengan kejayaan,” katanya secara bergurau semasa bersiaran secara langsung di platform Twitch.
Komen nakal Aguero ini pastinya akan mengundang ketawa beberapa bekas rakan sepasukannya yang menjadi pengurus atau jurulatih. Antara yang berbuat demikian ialah Vincent Kompany (Burnley), Kolo Toure (Wigan) Yaya Toure (Tottenham) dan Sylvinho serta Pablo Zabaleta (kedua-duanya di Albania).