Asia Tenggara

Shane Lowry Jangka Aksi Sukar Lawan Wakil Vietnam

1 20261119 093735 0000 Shane Lowry Jangka Aksi Sukar Lawan Wakil Vietnam
JOHOR Southern Tigers

Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry, memasang tekad untuk membantu Harimau Selatan mencatat keputusan positif apabila berdepan Công An Hà Nôi FC (CAHN) dalam aksi Kumpulan B Shopee Cup 2026/27 di Stadium Hàng Đẫy, malam ini.

Advertisement

Pemain kelahiran Perth, Australia itu mengakui keterujaannya untuk kembali beraksi dalam kejohanan berkenaan, namun menjangkakan cabaran sengit daripada wakil Vietnam yang turut memiliki kualiti untuk bersaing di pentas Liga Juara-Juara.

“Kami teruja kembali beraksi dalam kejohanan ini. Kami menjangkakan perlawanan yang sukar menentang pasukan berkualiti yang turut bersaing di Liga Juara-Juara. Kami akan berikan yang terbaik untuk mencatat kemenangan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Lowry turut menjadi perhatian selepas dilaporkan mendapat kelulusan FIFA untuk mewakili Harimau Malaya susulan proses pertukaran persatuan antarabangsa.

Perkembangan itu pastinya menjadi berita positif buat bola sepak negara memandangkan bekas pemain Aston Villa tersebut mempunyai pengalaman luas di pentas bola sepak antarabangsa dan pernah beraksi bersama beberapa kelab di England serta Australia.

Lowry, 37, yang menyertai JDT pada 2021, turut mempunyai pengalaman beraksi dalam pelbagai kejohanan domestik dan Asia bersama kelab gergasi selatan tanah air itu.

Mengulas mengenai suasana bola sepak di Vietnam, pemain pertahanan berkenaan mengakui beliau cukup menyukai sokongan penyokong tuan rumah yang sentiasa memberikan warna tersendiri kepada perlawanan.

“Suasana di sini sangat bagus seperti musim lalu. Kami suka apabila penyokong memenuhi stadium dan matlamat kami adalah menampilkan persembahan positif serta membawa pulang keputusan yang baik,” katanya.

Untuk rekod, JDT membuka kempen Shopee Cup musim ini dengan kemenangan besar 6-0 ke atas PKR Svay Rieng, manakala CAHN turut memulakan perjalanan dengan langkah kanan selepas menewaskan Lion City Sailors 1-0.

Pertembungan malam ini menjadi peluang buat Lowry dan rakan sepasukan untuk meneruskan momentum kemenangan sekali gus mengukuhkan kedudukan Harimau Selatan dalam persaingan Kumpulan B.

Percuma untuk pembacaTnG Money Packet PercumaMenyemak Money Packet...
--baki
Memuatkan...