Advertisements
Shivan Pillay Mahu Bantu Perak Ulangi Pencapaian 2023
Piala Malaysia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain pertahanan Perak FC, Shivan Pillay mahu membantu pasukan itu mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim 2023.

Meskipun dilabel pasukan bukan pilihan untuk kejohanan berprestij itu, The Bos Gaurus mencipta kejutan dengan mara ke separuh akhir kejohanan edisi berkenaan.

Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan dua pasukan hebat, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sabah FC di peringkat pusingan 16 dan suku akhir.

Shivan percaya dengan prestasi semasa yang dipamerkan The Bos Gaurus dalam Liga Super, pasukan itu mampu memberi cabaran sengit kepada mana-mana pasukan dalam Piala Malaysia.

“Untuk Piala Malaysia, tahun lepas kami mara hingga separuh akhir. Sudah tentu musim ini Perak FC sekurang-kurangnya mahu melepasi pusingan separuh akhir dan beraksi lebih baik.”

“Kempen Liga Super dan Piala Malaysia itu berbeza, dari segi format dan sebagainya. Kita akan buat yang terbaik dan mengharapkan untuk mara lebih jauh,” katanya.

Bek tengah berusia 23 tahun itu turut melihat kekalahan 5-0 Perak di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan menjejaskan semangat pasukan itu. Malah, Shivan melihat banyak elemen positif yang boleh diambil untuk membawa pasukan itu ke hadapan.

“Bagi saya di separuh masa kedua kita berjaya tunjukkan yang kita mampu bersaing dengan JDT. Mereka bermain dengan bagus dan saya bangga dengan rakan sepasukan.

“Dalam pasukan ada banyak penambahbaikan. Dari perlawanan pertama di awal musim hingga sekarang, kita sentiasa bekerja keras untuk berada di kedudukan terbaik dan selepas ini kita lihat peluang di pentas Piala Malaysia pula,” ujarnya.

Perak bakal berdepan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia 2024/25.

Aksi pertama bakal diadakan pada 22 November. Ini disusuli aksi kedua di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada 30 November.