Pasukan kebangsaan Singapura dijangka bakal mempertaruhkan kudrat pemain tengah ’Made In Malaysia’ ketika menentang Harimau Malaya Sabtu ini.
Singapura yang kini dikendalikan oleh jurulatih interim, Nazri Nasir dilihat sedang melakukan persiapan terbaik selain kekal mempertaruhkan barisan yang hampir sama ketika melalui kempen yang cemerlang di Piala AFF.
Namun begitu, barisan pemain yang amat mencuri tumpuan adalah pada posisi tengah apabila pasukan seberang tambak itu dijangka bakal meletakkan trio tengah yang pernah berkelana di Malaysia.
Pemain pertama yang dijangka menjadi pilihan utama jurulatih ialah kapten pasukan, Hariss Harun. beliau yang kini sudah menjangkau usia 31 tahun masih menjadi perancang utama buat pasukan Singapura.
Beliau dijangka kekal dipertaruhkan dalam kesebelasan utama memandangkan kehadirannya sering menyukarkan pihak lawan sekaligus menjadikan Malaysia bakal berdepan tugas sukar.
Pada musim ini, Hariss beraksi bersama pasukan Lion City Sailor dan telah melakukan 5 penampilan dan kesemuanya dalam kesebelasan utama pasukan.
Sungguhpun boleh beraksi sebagai pertahanan tengah, kemampuan Hariss untuk mengawal tempo menjadikan beliau lebih ampuh di bahagian tengah.
Pengalaman beraksi hampir 7 musim bersama JDT pastinya bakal memberi kelebihan buatnya untuk terus mengemudi jentera tengah Singapura selain berdepan pemain-pemain yang pernah menjadi rakan sepasukannya seperti Safiq Rahim dan juga Safawi Rasid.
Seterusnya, pemain yang turut dijangka mengisi slot pemain tengah ialah pemain Selangor FC iaitu Safuwan Baharudin.
Pemain berusia 30 tahun itu mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam kancah Liga Super sejak tahun sekian lama selain pernah beraksi buat beberapa pasukan termasuklah Pahang dan kini Selangor.
Pada musim ini, bekas pemain Melbourne City FC ini sudah beraksi 2 perlawanan secara keseluruhan dan menjaringkan 1 gol.
Kebolehan beliau untuk beraksi di pelbagai posisi termasuklah pertahanan pastinya menjadi aset terbaik Singapura dalam perlawanan menentang Malaysia sungguhpun banyak beraksi sebagai pertahanan bersama pasukan kebangsaannya.
Pemain ketiga yang dimaksudkan adalah bekas pemain tengah pasukan Kedah Darul Aman FC iaitu Anumanthan.
Sungguhpun beraksi hanya semusim bersama pasukan Hijau Kuning, kebolehan pemain berusia 27 tahun itu untuk membaca gerakan serangan lawan sudah pasti menyukarkan barisan serangan Malaysia pada perlawanan itu nanti.
Bukan itu sahaja, gandingan bersama Baddrol Bakhtiar mengemudi jentera tengah pasukan telah berjaya membawa skuad Aidil Sharin beraksi di pentas AFC pada musim ini.
Beliau yang telah kembali ke Singapura dan beraksi bersama Lion City Sailors sudah pun mendapatkan 3 aksi secara keseluruhannya.
Peranan penting yang dibawa oleh Anumanthan pada Piala AFF tahun lalu dijangka terus diberikan oleh Nazri Nasir ketika berdepan Malaysia nanti.
Ketiga-tiga pemain ini dilihat bakal menjadi watak penting Singapura dalam usaha untuk menguji keampuhan taktikal Kim Pan-gon.