Singapura Senaraikan Pemain-Pemain Terbaik Untuk Lawan Malaysia Dan Filipina

Singapura Singapura Senaraikan Pemain-Pemain Terbaik Untuk Lawan Malaysia Dan Filipina
FA Singapore
Nabil Fahmi @nabilfamy
12:53am 18/03/2022

FA Singapura telah mengumumkan senarai pemain yang akan menggalas tugas mencabar dalam perlawanan persahabatan menentang Malaysia dan Filipina minggu hadapan.

Jika dilihat senarai pemain yang dipanggil, pemain-pemain ‘core’ mereka seperti Hariss Harun, Irfan Fandi, Ikhsan Fandi dan Safuwan Baharudin pastinya akan kekal membawa kestabilan pasukan di setiap posisi.

Antara yang perlu diberikan tumpuan pastinya Ikhsan Fandi yang konsisten menjaringkan gol di Liga Thailand. Pemain muda berusia 23 tahun itu menyarung jersi BG Pathum United musim ini dan sehingga kini beliau telah meledak sembilan gol dalam empat belas perlawanan dalam semua pertandingan di Thailand.

Singapura juga menyenaraikan pemain naturalisasi mereka dari Korea Selatan, Song Ui-yong. Pemain ini sangat dominan di bahagian tengah dengan mempunyai visi yang baik dan variasi hantaran-hantaran yang tepat.

Walaupun skuad yang dipilih ini hampir sama dengan skuad Piala AFF 2020 yang lalu, namun ketiadaan Faris Ramli dan Shakir Hamzah pasti dirasai selepas kedua-dua mereka menyinar di kejohanan tersebut tahun lalu.

Pengendali sementara, Nazri Nasri diberikan tanggungjawab mengendalikan skuad kebangsaan Singapura dalam perlawanan menentang Malaysia dan Filipina. Manakala Hariss Harun dijangka terus diberi kepercayaan untuk memakai lilitan kapten pasukan Singapura.

Senarai pemain Singapura yang dipanggil boleh dilihat di bawah.